Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis)
Islam sebagaimana yang disebut oleh Hassan al-Banna adalah satu sistem kehidupan yang menyeluruh, mencakupi segenap aspek kehidupan. Ia bukan sahaja sebagai satu anutan dari sudut aqidah, malah dalam segenap perkara tanpa berkecuali. Hal ini juga pernah dijelaskan oleh idelog Ikhwan iaitu Syed Qutb. Boleh jadi benar juga jika dikatakan ia merupakan manhaj kehidupan yang menunjuki manusia ke arah yang betul tanpa tersasar. Fahaman yang jelas tentang Islam inilah menyebabkan seorang tokoh melihat Perancis berbudaya dengan budaya Islam meskipun ia tidak menjadikan Islam sebagai satu nilai pegangan. Malah, kefahaman yang mendasar inilah mendorong tokoh lain menyimpulkan bahawa Barat sekarang melahirkan muslim sedangkan Timur melahirkan peribadi berwatak Barat.
Islam merupakan satu agama perubahan dan tertegak atas runtuhnya kejahilan. Jaafar al-Sadiq apabila berpidato menerangkan tentang Islam kepada al-Najasyi menegaskan bahawa kehidupan jahiliyah yang pernah dilalui mereka berubah secara total apabila terkena simbahan cahaya Islam yang marak. Iai juga dijelaskan oleh Rubi’ bin ’Amr yang menjelaskan kepada panglima Rustam betapa mereka bergerak daripada kesempitan dunia menuju keluasan akhirat yang kekal abadi.
Al-Qaradawi ada menjelaskan sejarah kemunculan agama dalam satu tulisannya. Ada agama tertegak atas taasub yang melampau terhadap individu sebagaimana ada agama yang berkembang atas fahaman yang melulu terhadap animisme dan supreme power. Namun Islam merupakan wirathah anbiya’, yang membawa kesamaan daripada sudut aqidah dan perubahan dalam aspek syariah dan perlaksanaan dasar kehidupan. Justeru, ia merupakan agama yang sangat relevan sesuai dengan tuntutan semasa apabila ia membawa manhaj kehidupan yang agak berbeza mengikut kesesuaian zaman.
Fahaman yang jelas tentang Islam menyebabkan seorang Badwi menolak pemberian ghanimah yang bernilai daripada Rasulullah SAW kerana baginya Islam merupakan satu tiket untuk ia dipanah di lehernya sehingga terpotret namanya sebagai pencari kasih Allah SWT. Syed Qutb membentak guru yang mengajarnya ungkapan kalimah syahadah kerana ia sendiri bakal syahid kerana tegar dan tegas mempertahankan kalimah yang agung itu. Abdullah Azzam meninggalkan kenikmatan dunia kerana ingin menjadi anak kepada akhirat.
Abul Hassan ’Ali al-Nadwi sangat baik kefahamannya tentang Islam apabila menerangkan seluruh dunia tanpa pengecualian akan ditimpa kerugian yang berganda apabila mengetepikan Islam sebagai agama pemerintah. Kerugian itu bukan sahaja untuk dunia Islam, malah keseluruhannya lantaran sesebuah negara itu maju dan berkembang pesat apabila mereka menjadikan Islam sebagai perundangan mereka.
Amerika Syarikat menghadapi dilema yang sangat besar dan berat apabila tidak mampu membendung masalah peminuman air keras meskipun pelbagai tindakan berat diambil, malah telah menelan perbelanjaan yang sangat besar. Negara-negara di blok maju sendiri celaru apabila bertambah maju mereka, semakin bertambah kekecelaruan manusiawi sehingga melahirkan orang yang berdaya intelek tetapi tertekan dengan kehidupan yang kacau-bilau tanpa pedoman.
Moderhai yang lebih dikenali sebagai Karl Marx telah mempelopori fahaman komunisme juga sosialisme telah cuba menghapuskan Islam sehingga ke akar umbi dan ini tercatat jelas dalam Communist Manifest karya beliau. Fahaman komunisme yang menafikan kewujudan Tuhan ini berpaksikan kebendaan semata-mata, malah secara tidak langsung mendokong nihilisme yang akhirnya bertunjangkan kehancuran total daripada sudut manusiawi. Nilai-nilai kemanusiaan sejati secara beransur-ansur bertukar menjadi nilai kebinatangan yang bertunjangkan memuaskan hawa nafsu setiap masa dan ketika.
Dengan itulah lahirnya undang-undang dan peraturan rimba yang menyaksikan dunia ini hanya layak dihuni oleh sesiapa yang kuat fizikalnya bukan akalnya. Undang-undang rimba yang tersimpul daripada fahaman pragmatisme dan Darwinisme inilah yang membawa kepada Nihilisme yang didokong sepenuhnya oleh Nazi dalam membentuk ras atau manusia pilihan yang unggul menurut pandangan mereka. Cecil Rhodes, bapa Imperialis moden Inggeris tanpa segan silu menyatakan bahawa mereka merupakan ras tertinggi di dunia, makin semakin bumi yang ditakluk mereka, maka ia bertambah baik buat kehidupan.
Peraturan rimba menyaksikan wujudnya negara-negara angkuh yang kononnya mempunyai kuasa veto dan membuat dasar dan keputusan berdasarkan akal kehaiwanan mereka yang pastinya melulu dan tidak bertapak. Kuasa unipolar tanpa saingan untuk mengimbangi kuasa hanya melahirkan manhaj Iblis yang berteraskan ’abaa’ dan ’istikbar’, keengganan dan kesombongan. Justeru itulah memaksa alan Richardson mendedahkan betapa dunia masa sekarang merupakan dunia hasil sekularisasi yang lahir dampak dendam Barat dan kesombongan nasional.
Tanpa Islam, manusia hanyalah binatang yang berobjektifkan nafsu semata-mata. Umat Islam yang hanya mengambil Islam daripada sudut ibadah akan terus hanyut dilanyak-dilanyak oleh negara yang jauh lebih berkuasa. Barat nyatanya lebih berkuasa kerana meskipun mereka tidak mengambil Islam dalam ibadah dan pegangan, namun mereka mencedok sepenuhnya Islam daripada sudut kefahaman yang berbeza.
Ya, Islam adalah agama pembangunan tanpa corruption. Islam agama yang menitik beratkan soal kemajuan yang terpandu dan keintelektualan yang padu. Islam menekankan soal penguasaan fiqh sebagaimana Islam menekankan soal penguasaan dalam dunia teknologi. Islam tidak pernah menghalang daripada mengecapi nikmat dunia asalkan tidak berlebihan sehingga meluapakan asasl-usul penciptaan.
Islam nyatanya membawa manusia berpindah dari satu sistem kehidupan yang tidak tentu arah kepada dimensi kehidupan yang jelas dan cerah. Islam memandu manusia supaya sentiasa meningkatkan kualiti diri di samping melakukan pengislahan supaya seluruh dunia akan berada dalam zon kemakmuran yang tiada tara.
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) amat memahami soal ini sehingga kita meletakkan siyasah al-Dakwah sebagai satu teori permulaan gerakan. Satu kefahaman yang peling jelas ialah kita hendaklah memastikan setiap gerak kerja kita mestilah dijadikan sebagai satu paltform dakwah, dalam proses menyuntik kesedaran dan memberikan kefahaman. Kita melaungkan dengan penuh bersemangat tanpa berselindung di sebalik wajah yang penuh dengan kepalsuan, bahawa kita merupakan panah-panah Islam yang rela ditujukan ke mana sahaja tanpa memikirkan soal kepentingan diri yang tidak kesudahan.
Gamis melihat intelektual tidak bermakna jika tidak bertujuan dakwah. Demonstrasi juga tidak bermakna tanpa maksud dakwah. Malah segala gerak kerja yang dilakukan hanyalah hampas tanpa ada semangat dakwah. Kita mencanangkan satu wawasan yang bersepadu, betapa kita merupakan gerakan dakwah; siasah kita adalah dakwah, malah pengurusan dan kecemerlangan kita seluruhnya adalah untuk dakwah.
Di Malaysia, kita bersedia menjadi jurubicara ummah yang akan menampilkan permasalahn ummah untuk diselesaikan. Kita akan membela nasib Islam dan akan menegakkan ketuanannya bersendikan kefahaman dan kemampuan yang ada. Mungkin, di sebelah pihk Pmram, satu kerjasama yang bersepadu boleh dijalankan.
Shibghatallah; celupan Allah yang tiada bandingan. Ia merupakan satu bentuk lakaran corak yang tidak boleh ditukar ganti. Sehubungan dengan itulah kita berani mengatakan bahawa punca utama kegagalan sesebuah pemerintahan dalam memimpin ialah kerana mereka mengenepikan Islam itu sendiri. Ini semua terjadi apabila mereka hanya memahami ataupun mereka terpaksa memahami sebegitu demi kepentingan nafsu kebinatangan bahawa Islam hanya agama masjid bukannya istana.
Sesungguhnya, negara akan ranap jika terus-menerus mengekalkan tradisi nyahkan Islam daripada kehidupan. Tanggungjawab kita bersama selaku gerakan Islam untuk memulihkan semula suasana yang kian mencengkam ini dan apabila berada di puncaknya, ketika itulah kita sama-sama menjerit: Wa Islamah, Wa Muhammadah, saksikaan, Islam kembali gemilang.
