Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyokong penuh titah baginda Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin yang disampaikan dalam sebuah program di Universiti Malaya baru-baru ini. Saranan baginda agar demokrasi kampus yang telus dan adil perlu dilaksanakan di dalam kampus adalah berasas. Selama lebih dari sedekad, mahasiswa telah menyaksikan pelbagai kebobrokan dan pencabulan hak mahasiswa dan demokrasi kampus secara terang-terangan.
Bermula daripada prosedur penamaan calon yang tidak adil, tempoh berkempen yang tidak munasabah, peraturan-peraturan yang bersifat prejudis dan campurtangan daripada parti-parti politik luar, menyebabkan mahasiswa semakin hilang rasa yakin dan percaya terhadap pentadbiran universiti untuk merealisasikan sistem demokrasi kampus yang telus dan adil.Justeru, GAMIS melihat bahawa titah baginda Raja Muda Perak itu tidak seharusnya dipandang remeh, apatah lagi dipandang melalui kaca mata politik yang sempit.
Gesaan baginda agar proses pendemokrasian perlu mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diberi perhatian secara serius oleh semua pihak. Peranan NGO seperti SUHAKAM, SUARAM, HAKAM, GERAK dan sebagainya dalam usaha pendemokrasian kampus sedikit-sebanyak mampu merealisasikan hasrat murni ini lantaran kegagalan pihak pentadbiran untuk menjayakan tugasan tersebut.
GAMIS juga bersetuju dengan titah baginda yang mengiktiraf universiti sabagai sebuah gedung ilmu yang perlu dibebaskan ruang demokrasinya bagi melahirkan pemimpin pada masa akan datang. Justeru, GAMIS menggesa agar titah Raja Dr Nazrin ini diambil serius oleh pihak-pihak yang berwajib dan perlu segera dilaksanakan agar ruang demokrasi di kampus dilaksanakan dengan telus dan adil. Mohd Dzulkhairi Mohd Noor,Presiden,Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)