Oleh Rhiduan B. Othman
Timbalan Presiden Gamis
Semalam sebuah akhbar melaporkan bahawa sebanyak 30.5 peratus pelajar universiti di negara ini yang ditanya pendapat mereka sanggup mengambil rasuah jika diberi peluang berbuat demikian. Perkara ini disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan.
Beliau menyifatkan laporan itu sebagai amat membimbangkan dan beliau sendiri telah menggerakkan para pegawai BPR yang terlibat dalam Sekretariat Rakan Muda melawat institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi menerangkan kepada pelajar-pelajar mengenai bahaya gejala rasuah.
Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) memandang serius gejala rasuah ini yang sudah semakin menular ke peringkat mahasiswa.
Walaupun kaji selidik itu dibuat empat tahun lalu namun, ianya tetap boleh dijadikan satu indikator terhadap kesedaran mahasiswa tentang bahayanya najis rasuah. GAMIS turut ingin mengucapkan tahniah kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) diatas tindakan proaktif pencegahan rasuah yang dibuat dengan meningkatkan program-program kesedaran rasuah sehingga ke peringkat Universiti dan menjalankan satu kajian baru bagi membolehkan perbandingan dibuat dengan kajian sebelumnya.
Program kesedaran sahaja tidak cukup jika kes-kes rasuah dalam negara kita ini tidak ditangani dengan sebaiknya dan segera. Peningkatan kes-kes rasuah dalam negara kita pada hari ini boleh mempengaruhi generasi muda pada hari ini untuk turut mencuba terlibat dengan rasuah.
Kita tidak mahu rasuah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita kerana rasuah merupakan suatu barah yang boleh menhuru-harakan negara kita. Badan Pencegah Rasuah (BPR) amat perlu meningkatkan kerjasama dua hala dengan Badan-badan kerjaaan dan bukan kerajaan serta Persatuan-persatuan mahasiswa untuk bersama memerangi rasuah.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak boleh bersendirian dalam memerangi rasuah. Kita juga turut perlu menyokong usaha memerangi rasuah ini.
Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) selaku satu organisasi besar yang menghimpunkan mahasiswa-mahasiswa islam seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) bersedia menghulurkan bantuan dan menjalinkan kerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah dalam usaha murni ini.
Disamping itu GAMIS juga mahukan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pihak Universiti mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah mahasiswa ini.
Perkara ini teramat penting kerana kelompok mahasiswa ini merupakan modal insan yang tinggi nilainya yang mana akan terlibat sebagai pemimpin negara dan badan koperat suatu hari nanti. Kita tidak mahu kealpaan kita hari ini bakal mengundang kecelakaan kepada masa hadapan negara kelak.